Wednesday, December 26, 2012

PELAJAR ABAD KE 21




          Pelajar abad ke-21 merupakan pelajar yang berorientasikan Sains dan teknologi serta menggunakan prasarana teknologi maklumat terkini dalam kehidupan seharian. Kemajuan Sains dan teknologi ini secara tidak langsung mempengaruhi sektor pendidikan dan sekali gus para pelajar masa kini.
Sistem pendidikan di seluruh dunia telah banyak mengalami perubahan seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan dunia globalisasi ini. Sebagai contoh,  perubahan-perubahan dalam pendidikan ini turut tercatat dalam banyak dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia seperti dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP), Standard Guru Malaysia dan yang paling terbaru ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPP).
Semua yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini semuanya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) selari dengan perkembangan dunia Sains dan teknologi pada masa kini .
          Tuntutan abad ke-21 dilandaskan kepada tuntutan Wawasan 2020 dan Wawasan Pendidikan. Selari dengan tuntutan-tuntutan tersebut penyediaan sumber manusia berkualiti hendaklah dihasilkan oleh sistem pendidikan kita. Tuntutan Wawasan 2020 dan Wawasan Pendidikan telah menggariskan beberapa ciri-ciri generasi yang hendak dilahirkan untuk mewarisi alaf baru akan datang iaitu: 
·         Berpengetahuan tinggi, kaya dengan maklumat terutamanya dalam bidang sains dan teknologi
·         Mempunyai minda yang kuat seperti kreatif, kritis,inovatif dan proaktif
·         Mengamalkan nilai-nilai luhur dan murni (termasuk penyayang)
·         Mempunyai semangat jati diri, jaya diri, semangat juang dan keusahawanan
·         Berketrampilan tinggi dan yakin pada diri sendiri




Seharusnya, pelajar abad ke-21 telah menjadi lebih professional dan amat memahami tugas/peranan mereka sebagai pelajar. Sementara itu, kaedah pembelajaran sepatutnya tidak lagi tertumpu kepada guru sebagai punca maklumat utama. Akan tetapi, proses pembelajaran dan pengajaran sepatutnya berpusatkan pelajar. Pada abad ke-21 ini, guru seharusnya bertindak sebagai fasilitator dan pembimbing kepada pelajar. Manakala para pelajar pula, perlu mencari maklumat, pengetahuan menggunakan prasarana-prasarana yang ada seperti melayari internet dan sebagainya selari dengan perkembangan dunia sains dan teknologi.
 Pada abad ke-21 ini, seharusnya semua sekolah mampu melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran berkonsepkan penggunaan IT tetapi masih terdapat sesetengah sekolah yang bergelut dengan soal asas pembelajaran iaitu kemampuan murid untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) terutamanya sekolah di luar Bandar. Sepatutnya, pelajar abad ke-21 tidak lagi mengalami masalah kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), tetapi sebaliknya mereka semua pandai menggunakan computer.
Lantaran itu, semua pihak, harus memainkan peranan penting, terutamanya para guru dalam menghasilkan para pelajar yang celik IT, berkualiti dan mampu bersaing dan berkembang selari dengan pambangungan pesat dunia era globalisasi sains dan teknologi. Maka para pendidik dan guru-guru pelatih, perlulah dilengkapkan dengan ciri-ciri berikut pula: 
·         Menguasai subjek yang ingin di ajar terutamanya kandungan kurikulum
·         Mahir dan berketrampilan dalam pedagogi (ilmu pengajaran & pembelajaran) 
·         Memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi mereka agar proses P&P dapat berjalan dengan lancar
·         Memahami psikologi pembelajaran (cognitive psychology)
·         Memiliki kemahiran kaunseling untuk membantu para pelajar yang bermasalah
·         Mahir menggunakan teknologi terkini agar maklumat mudah untuk disampaikan dan juga membantu dalam melancarkan proses P&P
Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting agar anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam menempuh arus pemodenanan pada abad ke-21 ini. Sebagai ibu bapa, mereka seharusnya peka dengan perkembangan dunia sains dan teknologi pada masa kini dan juga harus selalu memantau kegiatan anak-anak mereka agar tidak menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang ada. Sebagai pelajar, kita harus menyediakan diri kita tidak kira dari segi fizikal dan mental dalam menempuh dunia moden pada masa kini.
Sebagai pelajar abad ke-21 mereka seharusnya berupaya membuat hubung-kait antara dua perkara, bijak menyoal, yakin berkomunikasi, berani mengambil risiko, sentaisa dahagakan ilmu, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, selalu berusaha untuk menjana idea-idea baru, fleksibel, tidak mudah berputus asa, menguasai kemahiran literasi terutamanya penggunaan computer, berani mencuba, mampu berfikir sendiri dan menyelesaikan masalah,
membuat inisiatif, mampu bekerja dengan orang lain, berani membuat perubahan, berintegriti dan berperibadi tinggi.

No comments:

Post a Comment